Ketua Pengarah JAKIM, Othman Mustapha, berkata sekiranya umat Islam meragui status halal sesuatu produk, wajar mengelak daripada membeli atau memakan makanan itu kerana hukumnya haram.
Katanya, JAKIM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk memantau kemasukan berleluasa produk sejuk beku dari Thailand yang diragui status halalnya.
"Mengikut maklumat diterima daripada JPV, kedua-dua produk yang disahkan mengandungi DNA babi tiada dalam senarai produk yang disaring JPV dan ia dipercayai dibawa masuk secara haram tanpa kebenaran agensi berwajib termasuk Bahagian Hab Halal JAKIM.
"Justeru, kita juga menasihatkan peniaga yang mungkin terlepas pandang perkara ini, termasuk tidak mengetahui kandungan produk yang dibawa dari Thailand supaya menghentikan penjualan sosej dan kepingan ayam yang diragui status halalnya, termasuk di bazar Ramadan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, JKN Perlis mengesahkan kedua-dua produk itu disahkan mengandungi DNA babi.
Dua produk itu yang turut menjadi bahan utama dalam menu Yong Tau Foo dan sosej bakar yang banyak dijual di gerai tepi jalan sekitar Sungai Bahru, turut dihantar untuk pasaran Perlis dan Kedah.
Pengesahan itu dibuat hasil keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan JKN Perlis di sekitar Sungai Bahru, yang mana dua daripadanya disahkan mengandungi bahan terbabit.
sumber :
Berita Harian:
ARKIB : 04/08/2011


